ARKIB : 22/03/2012
Penduduk Titi Haji Idris mahu jambatan baru
ALOR SETAR 21 Mac - Kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Titi Haji Idris dan beberapa kawasan sekitarnya di Pendang meminta kerajaan negeri mempercepatkan kelulusan membina sebuah jambatan baru bagi menggantikan jambatan lama yang kini mendap dan ditutup sementara.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Shafiee Rejab, 60, berkata, aktiviti harian penduduk terjejas ekoran penutupan jambatan itu sejak kira-kira pukul 4 petang kelmarin.
"Jadi penduduk meminta agar ia dipercepatkan supaya mereka dapat berulang-alik setiap hari seperti biasa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Semalam, jambatan yang merentasi Sungai Padang Kerbau itu ditutup sementara selepas didapati mendap apabila dua batang tiang penyokongnya patah dipercayai kerana tidak mampu menampung beban kenderaan berat yang menggunakan jambatan berkenaan setiap hari.
Shafiee berkata, jambatan berusia kira-kira 50 tahun itu sudah tidak sesuai digunakan kerana terlalu sempit.
Menurut Shafiee, selain penduduk kampung itu dan sekitarnya yang berjumlah lebih 1,000 orang, jambatan tersebut juga digunakan penduduk daerah Pendang dan Kota Setar untuk berulang alik setiap hari kerana ia berada di tengah-tengah kawasan berkenaan.
"Orang ramai yang menggunakan jalan raya ini dari selatan ke utara atau arah sebaliknya mesti melalui jambatan ini.
"Tetapi apabila ia ditutup, penduduk terpaksa menggunakan jalan lain yang agak jauh," jelasnya.
Seorang penduduk, Mat Said Murad, 45, berkata, ketiadaan jambatan itu menyusahkan penduduk untuk berulang alik menghantar dan mengambil anak ke sekolah setiap hari kerana terpaksa menggunakan jalan lain yang mencecah empat hingga lima kilometer jaraknya.
"Ini adalah keperluan mendesak yang perlu diatasi pihak berkaitan untuk kepentingan orang ramai," katanya.
Sementara itu, jurucakap JKR memberitahu, pihaknya akan membina jambatan sementara dengan menampung bahagian yang mendap menggunakan kepingan besi sementara menunggu kelulusan peruntukan membina jambatan baru.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0322&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_07.htm#ixzz2X9I9r9eb
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 comments:
Post a Comment
Satu Percubaan